Selangorkini
SUKANKINI

Kembalikan kegemilangan Pestabola Merdeka

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Bekas bintang bola sepak negara, Datuk Santokh Singh meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan semula kejohanan Pestabola Merdeka selepas ia dihentikan sejak 2013.

Menurutnya, kejohanan tahunan yang disertai beberapa negara serantau merupakan antara cara untuk pemain negara menunjukkan semangat patriotisme mereka.

“Saya tidak tahu kenapa Pestabola Merdeka tidak dianjurkan lagi. Mungkin salah FAM kerana tidak menurunkan pemain utama pada kejohanan itu yang menyebabkan negara jemputan ke kejohanan itu menurunkan pemain simpanan.

“Ini menyebabkan kejohanan itu kurang mendapat sambutan dan akhirnya tidak dianjurkan. Apapun saya saya mahu Pestabola Merdeka dikembalikan semula dan disertai semua negara Asia Tenggara.

Pesta Bola Merdeka“Jika kita lihat semasa Pestabola Merdeka dianjurkan, semua rakyat bersatu tidak kira Melayu, India atau Cina menyokong pasukan kebangsaan. Saya rindu kenangan itu,” katanya yang dipetik portal Free Malaysia Today (FMT).

Mengimbau kemeriahan Pestabola Merdeka, tanggal 31 Ogos 1957 bukan sahaja hari negara bebas daripada penjajahan British, tetapi juga permulaan bagi Pestabola Merdeka yang mendapat sokongan rakyat berbilang bangsa pada 60 tahun lalu.

Santokh turut berkongsi pengalaman mewakili negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman yang ketika itu menjadi Presiden FAM berkata, pemain bola sepak pada zaman dahulu dengan sekarang amat berbeza.

Beliau menyifatkan perdana menteri pertama Malaysia itu sebagai pemimpin istimewa, berhati lembut dan sentiasa mendengar keluhan pemain.

“Dulu kita makan, tidur, mandi sama-sama. Kalau tidur pun tempat terbuka dan begitu juga ketika makan, kita duduk sama-sama, tidak kira bangsa atau kaum pemain.

“Masa ini sangat berbeza. Mereka tidur dan makan di hotel, kadang-kadang pemain pun tidak tahu jiran bilik mereka pemain mana.

“Jika pemain nak jumpa terus dengan presiden FAM ketika itu tiada masalah, beliau sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab untuk semua kaum,” katanya.

=EZY=


Pengarang :