Selangorkini
NASIONAL

Kenapa baru sekarang dakwa Tun M ada RM83 bilion – MB

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed memiliki wang tunai RM83 bilion disifatkan bermotif politik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mempersoalkan mengapa perkara itu baru dibangkitkan setelah 22 tahun Dr Mahathir mentadbir negara.

“Selepas 22 tahun Dr Mahathir berada di dalam pentadbiran kerajaan, kenapa ia dibangkit pada masa ini. Ia adalah bermotifkan politik,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, di sini, hari ini.

“Kalau ada bukti, serahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bekas pegawai Tun Dr Mahathir, Abdul Hameed mendakwa bekas Perdana Menteri itu mempunyai wang kertas RM500 dan RM1,000 sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pemimpin nombor satu negara serta disimpan di Taiwan.

Beliau juga mendakwa mempunyai senarai nombor siri wang kertas berjumlah RM83 bilion dinyatakan itu.


Pengarang :