SELANGOR

Kerajaan Negeri agih RM220,000 bantu surau dan masjid

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 4 OGOS: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan RM220,000 bagi pembangunan masyarakat setempat khususnya masjid dan surau di daerah Sepang.

Majlis Penyampaian Sumbangan Baikpulih serta Naik Taraf Masjid, Sekolah dan Surau Selangor disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti bagi menampung kos baik pulih serta menaiktaraf yang membabitkan empat surau dan satu masjid.

Surau Al-Husna, Taman Desa Sentosa, Kampung Sungai Merab, Surau Al-Islah, Sungai Merab, Surau Al-Zaid, Bukit Bangkong dan Surau Al Islah Bukit Kampung Pulau Meranti masing-masing menerima sumbangan RM50,000.

CP2A9166Sementara Masjid Kampung Pulau Meranti menerima sumbangan berjumlah RM20,000.

Nazir Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti Abdul Hadi Abdullah ketika ditemui berkata, sumbangan RM20,000 diterima itu sedikit sebanyak membantu menampung kos menukar karpet dewan solat utama berjumlah hampir RM200,000.

“Kita sudah membuat bayaran separuh dan kini dalam proses mengumpul dana bagi menyelesaikan baki bayaran.

“Alhamdulillah sedikit sebanyak dengan sumbangan daripada Kerajaan Negeri kita boleh selesaikan baki bayaran,” katanya.

Dalam majlis sama, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 yang diagihkan kepada lima institusi masyarakat.

Penerima sumbangan itu adalah Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Sekolah Rendah Agam (SRA) Putra Perdana, Surau Al-Islah Batu 10, Masjid Pulau Meranti dan SRA Pulau Meranti

IMG_20170804_131810Selain itu, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pulau Meranti, SRA Jenderam Hulu, SRA Sungai Buah, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Al Hijrah Desa Pinggiran Putra dan KAFAI Jannatul Ma’wa masing-masing menerima bantuan komputer.

Sejurus selesai menunaikan Solat Jumaat, Mohamed Azmin meluangkan masa bersalaman dengan penduduk setempat serta menyertai Majlis Kenduri Rakyat.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengambil pendekatan santai menunggang motosikal ke Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti bagi menunaikan Solat Jumaat.

Beliau bersama penduduk setempat bergerak secara konvoi daripada rumah persinggahan di Pondok AZZMO GuestHouse, Kampung Pulau Meranti.

IMG_20170804_130627Berbaju melayu dan berkain pelekat, beliau tiba di perkarangan Masjid Meranti sekitar jam 1 tengahari sempena dengan lawatan kerja sehari ke Mukim Dengkil, Daerah Sepang.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan masjid dan surau berjumlah RM220,000 kepada empat buah surau dan sebuah masjid.


Pengarang :