Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri tanggung hampir RM300,000 tanggungjawab Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 25 OGOS: Sejumlah RM296,000 dibelanja Kerajaan Negeri bagi membina semula jambatan di Kampung Baru Gurney, di sini, walaupun ia tanggungjawab Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, jambatan asal dibiayai Kerajaan Persekutuan namun tiada tindakan lanjut walaupun keperluan jambatan baru disuarakan, sejak 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun bersetuju mengeluarkan peruntukan selepas mengambil kira keperluan mendesak lebih 1,000 penduduk di kampung berkenaan.

HULU SELANGOR EAN (2)“Seharusnya Kerajaan Persekutuan beri peruntukan, malangnya tiada bantuan walaupun ia adalah tanggungjawab mereka. Kita kesal dengan sikap sebegitu, namun tidak mengapa kerana Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kemudahan penduduk,” katanya selepas menyertai lawatan kerja ke tapak jambatan dengan disertai Jurutera Daerah Hulu Selangor (JPS), Halim Masri.

Halim berkata, kerja pembinaan mula dibuat pada 21 Julai lalu dan dijangka siap pada 14 September ini.

Katanya, ia bagaimanapun hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motosikal, basikal serta pejalan kaki.

“Itu permintaan penduduk di sini untuk membina jambatan konkrit untuk laluan berkapasiti kecil bagi memudahkan penduduk terutama pelajar ke sekolah.

“Ia tidak sesuai untuk laluan kereta, maka kita penuhi permintaan penduduk seperti diminta Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :