Selangorkini
SELANGOR

KidZania SportZ 2017 sempena Sukan SEA

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 8 OGOS: Taman hiburan keluarga terkemuka, KidZania bakal menganjurkan KidZania SportZ 2017, bermula 15 Ogos hingga 15 September ini sempena Sukan SEA ke-29.

Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan akan diadakan setiap hari bagi memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman sebagai atlet.

“Program ini juga mendidik kanak-kanak kepentingan nilai disiplin, kerjasama dan cara gaya hidup aktif.

“Kita berharap melalui program ini, akan lebih ramai kanak-kanak dan remaja bergiat aktif dalam aktiviti sukan,” katanya sewaktu pelancaran KidZania Sport 2017 di Mutiara Damansara, hari ini.

Sepanjang sebulan program itu berlangsung, kanak-kanak berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik di KidZania mahupun secara dalam talian.

Shahrul berkata, mereka boleh mengambil peluang dalam KidZania SportZ Challenge dan memenangi sesi penuh tajaan AirAsia di Akademi Badminton AirAsia.

Beliau berkata, menerusinya, pemenang bertuah berpeluang berlatih bersama pemain badminton kebangsaan, Liew Daren.

“Selain itu, mereka juga boleh menyertai aktiviti lain antaranya Obstacles Challenge, sesi Crossfit, Fitness Dance serta aktiviti kemahiran seperti memanah, golf mini dan bola sepak.

“Kita berharap KidZania SportZ dapat mengajar mereka erti persaingan sihat dan semangat kesukanan dengan menjalani latihan yang disiplin, kesungguhan serta kerjasama tinggi,” katanya.

Golongan profesional dalam bidang sukan juga akan turut berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak menerusi KidZania SportZ Talk antaranya bekas pemain skuasy kebangsaan, Sharon Wee, pemegang pingat emas Sukan SEA acara renang, Jeffrey Ong dan ramai lagi.


Pengarang :