Selangorkini
NASIONAL SUKANKINI

KL2017: Malaysia ke final aksi bola jaring

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Skuad bola jaring negara menepati ramalan apabila berjaya menewaskan Brunei 70-28 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini, seterusnya melayakkan diri ke final dengan penuh bergaya.

Suku masa pertama menyaksikan Brunei ditinggalkan 21 mata di belakang skuad negara sebelum memberikan sedikit tentangan pada suku kedua untuk menjadikan kedudukan 39-12.

Gandingan penjaring berbisa An Najwa Azizan dan Norashikin Kamal Zaman ternyata menjadi apabila kedua pemain itu mengganas bagi mendahului lawan.

bola jaringAngka kemenangan dicatatkan skuad bola jaring menghadiahkan senyuman lebar di wajah jurulatih daripada Australia, Tracey Robinson yang mengakui masih terdapat ruang untuk diperkemaskan lagi.

“Kami masih perlu perkemaskan lagi teknik dan kemahiran. Falsafah saya ialah bukan fokus pada tujuh pasukan terbaik tetapi melihat kepada setiap pasukan (12 pasukan teratas). Semua mereka adalah terbaik,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, Norashikin berkata. beliau pada awalnya agak gugup, namun dapat mengatasinya selepas berjaya menembusi benteng Brunei dan menjaringkan deretan gol berharga buat Malaysia.

“Jika bertemu Singapura untuk final esok, saya akan cuba atasi perasaan gugup dan sasaran jarak mata adalah antara 15-20,” katanya.

Esok, Malaysia bakal menemui Singapura atau Thailand yang ketika ini sedang bertarung pada perlawanan peringkat separuh akhir.


Pengarang :