Selangorkini
NASIONAL SUKANKINI

KL2017: Acara skuasy ditangguh

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Acara skuasy Sukan SEA ke-29 yang dijadual bermula jam 9 pagi hari ini, ditangguhkan ekoran bas yang membawa atlet dari Thailand, Myanmar dan Filipina terbabit dalam kemalangan.

Pengurus acara itu, P Sivanesen berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan daripada pasukan perubatan Institut Sukan Negara (NSI) berhubung keadaan atlet terbabit.

Beliau berkata, pasukan Myanmar masih belum memaklumkan keadaan atlet mereka kerana masih menjalani pemeriksaan perubatan di NSI di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

“Kami menimbangkan untuk menangguhkan pertandingan sekurang-kurangnya seharijika pasukan perubatan mengesahkan atlet yang terlibat boleh beraksi selepas sehari berehat.

“Kami berharap semua pemain dapat beraksi kerana kami tidak mahu menafikan peluang mereka yang datang ke sini untuk bertanding dalam temasya dwitahunan ini.

“Ada pengurus yang memaklumkan kepada kami (pemain mereka boleh bermain) tetapi kami perlu tunggu semua sekali, supaya boleh mulakan pertandingan petang ini, jika boleh,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pusat Skuasy Nasional, di sini.

BASSivanesen berkata, mesyuarat akan diadakan segera selepas pihaknya menerima laporan perubatan untuk menetapkan jadual perlawanan.

Sementara itu, pemain skuasy wanita Thailand Panisa Suwanarat semasa ditemui pemberita berkata, anggota pasukannya hanya mengalami cedera ringan.

“Bagi pasukan kami, ia tidak teruk. Telinga Suvipa Kitvijarn luka dan kepalanya terhantuk pada tingkap. Jadi dia rasa pening. Lain-lain dalam pasukan kami sakit di leher. Dan saya mengalami calar,” katanya menurutnya beliau yakin pasukannya mampu beraksi.

Atlet Filipina, Robert Andre Gracia berkata beliau bimbang dengan pemain Myanmar yang mungkin mengalami kecederaan serius akibat kemalangan itu.

“Semua dalam pasukan saya okay tetapi saya bimbang tentang pemain Myanmar kerana mereka paling ramai yang cedera,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :