Selangorkini
NASIONAL

KMU aktif kekal keamanan, lawan ekstremisme

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 OGOS: Komuniti Muslim Universal (KMU) akan terus berperanan aktif dalam usaha mengekalkan keamanan melawan ekstremisme ganas, kebebasan beragama dan hak kumpulan minoriti tertindas di negara ini.

Pengasasnya, Aizat Shamsuddin berkata, ia bersesuaian dengan penubuhan pertubuhan itu sebagai organisasi belia atas nilai keamanan, kesamarataan dan kemanusiaan.

“Konsep ‘membina keamanan’ telah lama diperluaskan, contohnya termasuk konteks di Malaysia dalam mencegah konflik antara agama sebelum bertukar menjadi parah melalui dialog, bengkel kepimpinan dan platform wacana lain,” katanya.

Dalam kenyataan medianya, beliau berkata, sempenan sambutan Hari Belia Sedunia disambutan pada 12 Ogos setiap tahun, KMU menyahut seruan melaksanakan mandat terkandung dalam Resolusi 2250 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah mengekalkan keamanan dunia.

Komuniti-Muslim-Universal-MalaysiaKatanya, semakin ramai masyarakat dunia hari ini menerima dan mengiktiraf golongan muda sebagai agen perubahan dan sebagai tunjang membina keamanan dan mencegah konflik berikutan melihat sebahagian besar dari populasi 1.2 billion golongan terbabit terkesan dengan konflik dunia dan perang.

“Tema ‘Belia Membina Keamanan’ untuk Hari Belia Antarabangsa 2017, sangat relevan dengan mengambil kira kebanyakan konflik dunia ditambah kesedaran bahawa keamanan yang kekal tidak boleh dicapai melainkan dengan perlindungan mencukupi untuk mereka.

“Ia merangkumi penyertaan mereka sebagai salah satu pihak berkepentingan juga dorongan mencukupi untuk belia, keamanan dan agenda keselamatan sejak beberapa tahun lalu.

“Tema dipilih juga menyokong usaha dan komitmen berkaitan aspek belia, keamanan dan keselamatan diterajui negara anggota, badan bernaung di bawah PBB, golongan belia dan organisasi dipimpin golongan muda,” katanya.

Aizat menjelaskan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres ,dalam kenyataannya juga menekankan betapa penting untuk mengekalkan keamanan dunia dan mengelakkan konflik di mana usaha itu adalah salah satu aspek penting dalam gerak kerjanya.

Resolusi 2250 Majlis Keselamatan PBB berfungsi sebagai rangka kerja dasar yang menggariskan peranan positif golongan belia dalam aspek penyelesaian dan pencegahan konflik, mengatasi ekstremisme ganas dan membina keamanan.

Ia turut menggesa negara-negara anggota untuk memberikan ruang dan peluang yang lebih dalam kuasa membuat keputusan di peringkat tempatan, nasional, serantau mahupun di peringkat antarabangsa.


Pengarang :