Selangorkini
SELANGOR

Kuala Selangor membangun, kekal indah dan sejarah

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 OGOS: Kuala Selangor mempunyai potensi besar menjadi bandar tumpuan pembangunan baru di Selangor.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, daerah itu menawarkan pelbagai prospek kemajuan yang boleh dikembangkan dan membawa keuntungan kepada pihak berkepentingan.

“Namun biarlah ia seiring dengan persekitarannya yang indah, tarikan sejarah serta produk pelancongannya.

kuala selangor“Aspek tarikan ini mesti dijaga sekalipun Kuala Selangor melalui proses transformasi ke arah bandar maju sepertimana Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Kita tidak mahu Kuala Selangor menjadi bandar batu,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Mohd Azhar berkata, pembangunan bandar baru di Selangor juga seharusnya menekankan aspek ‘smart development’ dan tidak mengabaikan kepentingan alam sekitar.

“Kita mahu ia maju sebagai bandar tumpuan dengan pembangunan ekonomi rancak dan diisi dengan masyarakat bertamadun dan persekitaran lestari,” katanya.

Mula berkhidmat di MDKS pada 1 Februari 2017, Mohd Azhar sudahpun menamatkan perkhidmatannya sebagai YDP pada 25 Ogos lalu.

Ia bagi memberi laluan kepadanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang alam sekitar, bermula 4 September ini.

Sebelum ini, beliau bergelar YDP di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) selama lima tahun.


Pengarang :