Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

LKAN 2016: Selangor negeri kedua tunggakan bayaran balik terendah selepas P.Pinang

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 1 OGOS: Laporan Ketua Audit Negara 2016 (LKAN) yang dikeluarkan pada 31 Julai menunjukkan jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Selangor adalah kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang berbanding 12 negeri lain.

Menurut laporan itu, Selangor hanya mempunyai tunggakan bayaran balik sebanyak RM14.67 juta, berbanding RM27.09 juta pada akhir 2015.

Pulau Pinang dilaporkan tidak mempunyai sebarang hutang tertunggak pada akhir tahun lalu, berbanding RM1.49 juta yang ditanggung pada akhir 2015.

Laporan LKAN itu juga menunjukkan tunggakan bayaran balik ditanggung Pahang meningkat dan merupakan jumlah tertinggi iaitu RM1,087.93 juta berbanding RM929.85 juta pada akhir 2015.

HUTANG LKAN

Ia diikuti Kedah yang mempunyai jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi, iaitu RM1,028.85 juta berbanding RM1,027.69 juta pada akhir 2015.

Manakala Terengganu di tempat ketiga  tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi berjumlah 502.36 juta berbanding RM465.43 juta pada akhir 2015.

Sementara ditempat keempat adalah Melaka dengan  tunggakan bayaran balik pinjaman tertinggi berjumlah RM405.03 juta berbanding RM337.84 juta pada akhir 2015.

 Tunggakan bayaran balik pinjaman semua kerajaan negeri secara keseluruhannya meningkat daripada RM3.985 bilion pada akhir 2015 kepada RM4.225 bilion pada akhir tahun lalu.

Peningkatan itu melibatkan peningkatan tunggakan Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu.

Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Johor, Perak, Sarawak dan Selangor berkurangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mengemukakan 353 syor bagi membantu Kerajaan Persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan negeri memperbaiki kelemahan dilaporkan.

=EZY=


Pengarang :