Selangorkini
SELANGOR

LRA Labohan Dagang ikut spesifikasi, JPK SAS puas hati

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 16 OGOS: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) berpuas hati terhadap projek pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang giat dilaksanakan di kawasan pinggir Selatan Selangor.

Pengerusinya, Ng Sze Han berkata, projek berkenaan mengikut piawaian ditetapkan Kerajaan Negeri ke arah inisiatif penyelesaian kemelut air di kawasan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, kami sangat berpuas hati dengan perkembangan projek ini walaupun ada beberapa isu berkait perkara pengambilalihan tanah, namun pihak kontraktor memberi jaminan untuk menyiapkan projek ini mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa ini akan terus mengadakan pemantauan dengan memastikan tidak timbul sebarang isu kelewatan selepas masalah pengambilalihan tanah selesai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di tapak lokasi pagi ini.

LRA Labohan DagangDifahamkan, masalah berpunca daripada pertikaian enam individu yang membuat tuntutan tanah di kawasan tapak projek.

Mereka mendakwa, projek berkenaan dibangunkan di atas tanah milik persendirian, sekali gus menuntut pampasan sebagai ganti rugi kerugian hasil tani di kawasan itu.

Bagaimanapun, Jawatankuasa JPK-SAS memaklumkan projek berkenaan dibangunkan di atas tanah milik Kerajaan Negeri menerusi hasil siasatan lanjut Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Terdahulu, panel Jawatankuasa JPK-SAS turun padang meninjau proses pembangunan projek berkenaan dengan fasa pembinaan dijangka selesai penghujung Disember 2018.

Panel Jawatankuasa JPK-SAS dianggotai Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran; Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Sebelumnya, Ahli Jawatankuasa diberi taklimat menyeluruh pembangunan projek oleh Jurutera Perunding Zaaba, Zalin Amir dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Pemantau Seksyen Makro dan Penswastaan UPEN, Mazida Othman.

Sebelumnya, pembinaan loji rawatan berkenaan dibuat di kawasan kolam bekas lombong yang dikenali sebagai MC 8 dan MC 9 sebagai sumber mentah baru untuk air Selangor.

Kolam utama dengan keluasan 110 hektar ini mampu menyimpan 20 juta meter padu air mentah dan 15 juta meter padu diguna pakai sebagai sumber air mentah untuk loji rawatan.

Ia melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM369,031,412 bagi pembangunan fasa pertama sebagaimana pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawan 2015 lalu.

=EZY=


Pengarang :