Selangorkini
AGAMA SELANGOR

LZS perkenal program kemahiran pembangunan anak asnaf

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil langkah proaktif memperkenalkan program kemahiran pembangunan untuk anak-anak asnaf bagi membantu golongan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussin Mohd Ali berkata, program kemahiran itu turut menyajikan peluang pekerjaan selepas tempoh pembelajaran berakhir.

Katanya, inisiatif itu bertujuan untuk memberi peluang kepada anak asnaf menambah pendapatan keluarga sekaligus keluar dari kepompong kemiskinan.

“Melihat pertambahan asnaf sebanyak 2,000 setahun dan hanya 900 keluarga asnaf sahaja berjaya keluar dari kategori asnaf tahun lalu, jadi inisiatif ini diambil.

“Kita mahu program kemahiran diberi lebih perhatian berbanding bidang akademik kerana bidang kemahiran mempunyai peluang cerah dalam pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Muzakarah Zakat Kebangsaan 2017, di Hotel Bluewave, di sini.

Hussin berkata LZS mahu golongan asnaf tidak terlalu bergantung kepada bantuan zakat disalurkan kerana ketika ini, lebih 46,000 keluarga asnaf memerlukan bantuan hampir RM500 juta setahun.

Katanya, sejumlah 95,000 anak asnaf pelbagai peringkat dan usia direkodkan dalam keluarga asnaf, bagaimanapun program itu hanya ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Setakat ini, SIRIM melatih 20 orang anak asnaf untuk menjadi Jurukimpal dan dalam tempoh enam bulan, mereka ini akan mempunyai lesen tahap 1 serta mendapat gaji bulanan sebanyak RM1,500 sebulan.

“LZS turut berbincang dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk melatih mereka ke dalam bidang kemahiran itu.

“Pihak Kolej MAHSA juga sedang melatih 20 orang untuk menjadi Juruteknologi pembuat gigi palsu selama dua tahun dan memberi jaminan kerjaya,” katanya.

Pada masa sama, program My Bidan turut dilaksanakan kepada 25 anak asnaf dengan memberi pendedahan terhadap penjagaan ibu berpantang supaya mereka berpeluang bekerja atau menjalankan perniagaan.

“Setakat ini, sambutannya baik dan diterima keluarga selepas diberi kefahaman kerana bagi mereka bidang akademik lebih penting berbanding kemahiran sedangkan keputusan peperiksaan anak mereka tidak begitu baik,” katanya.

=EZY=


Pengarang :