SELANGOR

MB: Bersama pastikan Selangor negeri termaju

OLEH LIZAWATI MADFA

KAJANG, 5 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa memberi ruang dan peluang sewajarnya kepada pihak swasta untuk bersama membangun Selangor dan memberi manfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak swasta merupakan rakan Kerajaan Negeri dalam mengekalkan Selangor selaku negeri termaju dengan perkembangan ekonomi mampan.

“Bukan tugas Kerajaan Negeri untuk melakukan perniagaan kerana itu bukan tanggungjawab kita.

“Tetapi Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan dan menyediakan fasiliti bagi membantu pihak swasta bersama menjayakan aspirasi membangun Selangor,” katanya.

MB Pecah TanahBeliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pasar dan Dewan Komuniti Suntex, Cheras, di sini, hari ini.

Projek berkenaan dibangunkan secara bersama antara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pemaju, OSK Property Holdings Berhad.

Ia merupakan syarat dikenakan MPKj ke atas OSK kerana pasar sedia ada di tapak itu berada dalam keadaan uzur dan perlu dibangunkan semula seiring gaya moden Suntex.

Kedua pihak kemudian bersetuju membina dewan dan pasar di bawah satu bumbung di atas tapak sedia ada seluas 2.76 ekar.

Pasar basah disediakan di tingkat bawah bangunan sementara tingkat satu akan menempatkan dewan serbaguna dengan kemudahan dua gelanggang badminton dan pejabat pengurusan serta kemudahan gerai makan.

Pembinaan dibuat menerusi dua fasa apabila fasa satu melibatkan perobohan pasar lama dan sudahpun selesai dijalankan.

Fasa kedua pula melibatkan kerja pembinaan tapak yang sudahpun dimulakan pada Mac lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2018.

=EZY=


Pengarang :