Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Dapatkan perkembangan terkini di SelangorKini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 OGOS: Rakyat diseru merujuk media rasmi, SelangorKini bagi mendapatkan berita semasa dan perkembangan terkini melibatkan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagi membolehkan rakyat peroleh gambaran tepat mengenai sesuatu isu yang kebiasaannya tidak disiarkan media lain, terutama media arus perdana.

Katanya, media arus perdana lebih cenderung memaparkan isu yang sengaja diperbesarkan bagi mewujudkan perspektif negatif terhadap Kerajaan Negeri.

“Berita kejayaan kita, seperti penarafan lima bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kita tidak dapat anda saksikan pukul 8 malam di stesen televisyen dan akhbar tertentu.

RAKYAT SELANGOR“Yang kita dengar Selangor kotor, banyak nyamuk, orang Selangor tak mandi dua minggu, jalan berlubang dan sebagainya.

“Bukan salah wartawan kerana mereka sudahpun menulis yang baik-baik tetapi pengarang mereka yang nakal.

“Saya katakan kepada mereka (wartawan) tidak mengapa, berhenti di sana dan kerjalah di SelangorKini,” katanya disambut tepukan gemuruh lebih 1,000 penjawat awam.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2017, di sini, semalam.

Pada Program Turun Padang Daerah Sepang baru-baru ini, Mohamed Azmin turut berpesan perkara sama mengingatkan rakyat kepentingan memilih sumber rujukan berita semasa.

“Cerita baik-baik Selangor tak keluar di media tertentu, yang ada semua buruk-buruk.

“Jadi, janganlah baca surat khabar sebelah sana sahaja, rujuklah sumber media yang lebih telus seperti Selangor Kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Dewan Orang Ramai, Taman Gemilang.

=EZY=


Pengarang :