Selangorkini
SELANGOR

MB: Maklum balas positif Laporan Ketua Audit Negara

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OGOS: Selangor secara umumnya menerima maklum balas positif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia termasuk penilaian terhadap pengurusan kewangan Kerajaan Negeri yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai cukup baik.

“Ini terbukti apabila pentadbiran sedia ada menjamin ketelusan dan keterbukaan dalam Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, pasukan saya juga sedang meneliti beberapa dapatan dan teguran untuk Kerajaan Negeri bertindak sewajarnya agar tidak berulang pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita.

https://selangorkini.my/2017/08/lkan-2016-selangor-negeri-kedua-hutang-terendah-selepas-p-pinang/

Beliau ditemui sejurus selesai mengiringi keberangkatan pulang DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin daripada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat PKNS, di sini, hari ini.

Pada 31 Julai lalu, LKAN 2016 menunjukkan jumlah hutang Kerajaan Negeri adalah kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang, berbanding 12 negeri lain.

Menurut laporan itu, Selangor hanya mempunyai hutang sebanyak RM14.67 juta, berbanding RM27.09 juta pada akhir 2015.

HUTANG LKANHutang Kerajaan Negeri secara keseluruhannya meningkat daripada RM3.985 bilion pada akhir 2015 kepada RM4.225 bilion pada akhir tahun lalu.

Peningkatan itu melibatkan pinjaman Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu.

Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Johor, Perak, Sarawak dan Selangor berkurangan.

=EZY=


Pengarang :