Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: PBT perlu main peranan lebih aktif sedia kemudahan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

KAJANG, 5 OGOS: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan lebih aktif setara dengan Kerajaan Negeri termasuk menggunakan peruntukan PBT bagi menyediakan pelbagai kemudahan rakyat di kawasan pentadbiran masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rizab PBT juga bukanlah hak pihak tertentu sebaliknya milik rakyat yang mesti dikembalikan.

“Tanggungjawab PBT bukan untuk menabung tetapi pulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk kemudahan dan prasarana.

“Hari ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyambut saranan ini dan membelanjakan sendiri peruntukan untuk membina dewan komuniti setempat, tanpa bantuan Kerajaan Negeri,” katanya.

IMG_8400Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Dewan Komuniti Bandar Bukit Mahkota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Selangor, Dato’ Teng Chang Khim dan Yang DiPertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar.

Terdahulu, Sayuthi ketika ucapan aluannya berkata, sejumlah RM4 juta diperuntukkan MPKj bagi pembinaan dewan di atas tanah berkeluasan satu ekar itu.

IMG_8199 (1)“MPKj berharap ia dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk sekitar dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan, keraian, sukan dan riadah,” katanya.

Dewan dua tingkat itu berkeluasan 1,040 meter persegi dan dilengkapi tiga gelanggang badminton serta bilik menunggu VIP, bilik pengurusan, ruang persediaan, surau, tandas dan lain-lain.

Reka bentuknya dilaksanakan secara ‘in house’ di bawah Bahagian Pengurusan Projek, Jabatan Kejuruteraan MPKj dan dijangka mampu memuatkan sehingga 550 tetamu.

=EZY=


Pengarang :