Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: PBT wajar faham aspirasi rakyat, laksana program pembangunan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 20 OGOS : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri perlu memahami aspirasi rakyat dengan giat melaksanakan program pembangunan setempat secara efektif dan menyeluruh.

Saranan itu dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengambil kira tuntutan pembayar cukai agar PBT lebih konsisten mengurus tadbir perbandaran pada tahap terbaik kini.

“Masyarakat yang bertindak sebagai pembayar cukai kini sudah semakin matang dan memahami tentang hak keperluan mereka.

“Justeru itu, PBT bukan hanya bertangungjawab untuk kutip cukai dan bangunkan infrastruktur sahaja, tetapi lebih penting supaya aspirasi rakyat yang mahu kawasan mereka berada dalam keadaan terbaik, aman dan harmoni dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada majlis pelancaran Karnival Majlis Perbandaran Ampang Jaya 2017 di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, pagi ini.

CP2A3790-1280x853Mengulas penganjuran program itu, Mohamed Azmin berkata, inisiatif MPAJ itu diharap mampu menjadi landasan terbaik kepada PBT lain untuk menganjurkan program komuniti di peringkat akar umbi secara konsisten.

“Tidak terhenti setakat itu, Kerajaan Negeri berharap supaya MPAJ dan PBT seluruh negeri mempelebar tanggungjawab dengan melaksanakan program pembangunan dijalankan secara kolektif dan bersama.

“Inilah tujuan penganjuran karnival yang dilihat mampu memperkukuh lagi hubungan perpaduan antara PBT dan masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Karnival MPAJ dijalankan bagi menyambut Ulangtahun Jubli Perak MPAJ ke 25 selepas penubuhannya dibuat pada 1 Julai 1992 lalu.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussein memaklumkan, inisiatif penganjuran karnival dibuat bagi menghargai sokongan komuniti terhadap perbandaran itu.

“Sokongan dan dorongan ini MPAJ terjemahkan dengan bersama-sama masyarakat dan warga kerja MPAJ berada dalam satu padang bergandingan bagi menjadikan Ampang Jaya sebagai kawasan hormoni dan selesa untuk bersama-sama didiami,” katanya pada sidang media.

=EZY=


Pengarang :