Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pembangunan berkualiti demi manfaat rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 5 OGOS: Kerajaan Negeri menegaskan pelaksanaan pembangunan berkualiti menjadi keutamaannya dalam usaha memberi kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pimpinan Kerajaan Negeri mengambil pendirian untuk turun mendampingi rakyat dalam usaha menyelami dan memahami masalah dihadapi golongan itu ke arah menjayakan pembangunan dirancang.

Katanya, pembangunan dilaksanakan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) amat membanggakan dengan pelbagai kemudahan termasuk laluan jalan raya yang sempurna.

“Dalam lawatan kerja hari ini, saya amat gembira kerana sama ada projek pembinaan dewan komuniti, pemberian notis 5A, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) atau pelancaran bas Smart Selangor, semuanya adalah pembangunan amat berkualiti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Harapan Kerajaan Negeri adalah pembangunan yang mahu dlaksanakan di negeri ini, mesti yang berkualiti,” katanya dalam Majlis Perasmian Bas Smart Selangor MPAJ dan Dataran Transit MPAJ di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam konteks pengangkutan awam, walaupun bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tetapi atas dasar kepedulian kepada rakyat mahu mewujudkan sistem pengangkutan awam yang baik juga aliran trafik lancar dengan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi memcapai sasaran nisbah 60 : 40.

Biarpun menelan belanja besar, katanya, Kerajaan Negeri telah melancarkan 93 bas Smart Selangor yang beroperasi di seluruh Selangor dan pelancaran unit ke-100 kemungkinan akan dijalankan pada 24 September ini.

“Inilah satu-satunya negeri dalam dunia yang menyiapkan perkhidmatan bas percuma dengan teknologi canggih dan baru untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Di MPAJ bukan sahaja kita tambah laluan tetapi kita lihat dataran dibina yang menggunakan konsep pembangunan baru,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pembangunan dijalankan tidak semua mencapai kualiti sekiranya ia merosakkan alam sekitar juga menimbulkan banyak masalah kepada rakyat.

“Bukan semua pembangunan berkualiti kerana ada kerajaan menyediakan prasarana pengangkutan awam tetapi hutang terlalu besar.

“Sementara kita menyambut baik pembangunan seperti ini tetapi terpaksa berhutang dengan pihak luar negara, yang akan membayarnya adalah generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir, Exco Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim; Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain dan hadirin lain.

=EZY=


Pengarang :