Selangorkini
SELANGOR

MBI salur lebih RM700,000 selenggara Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 19 OGOS: Sejumlah RM710,967 diperuntuk Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, sejumlah RM540,967 sudah dibelanjakan dari semasa ke semasa, sejak 2009.

Katanya, sejumlah RM170,000 lagi diperuntukkan bagi tujuan sama bermula hari ini sehingga kerja pembaikan selesai.

“Kita harap dengan usaha ini, maka akan terjalin hubungan lebih erat di antara penduduk dan MBI seterusnya bersama memakmurkan pangsapuri ini untuk kesejahteraan bersama.

MBI (2)“MBI juga berharap sumbangan ini memberi manfaat kepada semua dalam usaha mencapai objektif ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’ yang diperjuang Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.

Mohd Jaafarudin berkata, MBI juga sentiasa berusaha untuk menyegerakan proses penyerahan hak milik strata kepada pemilik yang mendiami 20 unit, di pangsapuri berkenaan.

“Jadi, kita seru penduduk segerakan penubuhan badan pengurusan bersama (Joint Management Body-JMB) supaya penyerahan berkenaan dapat dijayakan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk dan Penyerahan Sumbangan Kerja Baik Pulih Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Korporat Pejabat COO MBI, Ahmad Ashraf Asnan dan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2, Aminuddin Ismail.

Hak milik strata 20 unit berkenaan kini berada dalam simpanan MBI dan makluman kepada penduduk sudah dikeluarkan, pada 15 Februari lalu.


Pengarang :