Selangorkini
PBT SELANGOR

MBPJ iktiraf kreativiti pelajar menerusi i-Play Park Damansara Damai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan platform untuk pelajar sekolah turut serta menyumbang idea menjayakan i-Play Park Damansara Damai.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Damansara Damai diberi kepercayaan untuk merekabentuk dan terlibat secara langsung dalam pembinaan dan menjaga kemudahan taman berkenaan.

“Mereka akhirnya menghasilkan konsep taman berbeza daripada apa yang sering dilaksanakan oleh majlis.

“Menerusi projek ini, mereka tampil dengan taman lengkap dengan kemudahan ‘outdoor class room’ yang menengahkan konsep ‘belajar sambil bermain’ dengan komponen ‘i-Fun’, ‘i-Ranger’, ‘i-Grow’ dan ‘i-Green’,” katanya ketika ucapan aluan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, baru-baru ini.

Azizi berkata, i-Play Park Damansara Damai bersama satu lagi inisiatif, PJ City Food Bank menarik minat Korea dan China.

“Kedua negara membuat keputusan untuk menghantar kakitangan mereka ke MBPJ bagi mempelajari bagaimana kita melaksanakan kedua inisitif berkenaan,” katanya.

PJ City Food Bank merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah PJ Kita yang diwujudkan sejak 2012.

Ia merupakan program agihan makanan kepada rumah anak yatim, rumah orang tua, rumah orang kurang upaya dan orang miskin dengan kekerapan tiga kali seminggu.

PJ City Food Bank menerima sokongan jenama terkenal seperti Tesco, Dutch Lady, Nestle dan menerima sumbangan RM1.5 juta daripada Bank Rakyat.

=EZY=


Pengarang :