Selangorkini
PBT SELANGOR

MBPJ kena syarat ketat pemaju projek

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenakan syarat lebih ketat kepada pemaju projek pembangunan di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Azizi Mohd Zain berkata, pemaju kini disyaratkan untuk mengemukakan pelan Urban Design semasa pra semakan, bagi semua projek baru.

Katanya, mereka juga perlu mendapatkan pengesahan semasa Kebenaran Merancang (KM) dan disemak semula pasukan audit selepas dilaksanakan.

“Inisiatif ini sangat signifikan kepada MBPJ kerana Petaling Jaya mempunyai peratusan tinggi penduduk yang memerlukan ‘special needs’ seperti warga emas, kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang semakin meningkat saban tahun.

“Ia juga merupakan sebahagian usaha MBPJ memenuhi prinsip ‘PJ Sustainable 2030’ dalam usaha melahirkan masyarakat Petaling Jaya yang inklusif, selamat dan mesra, iaitu ‘A City for All’,” katanya.

Beliau berkata ketika ucapan aluan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, di sini, baru-baru ini.

‘PJ Sustainable 2030’ merupakan pelan strategik yang disediakan secara bersama oleh MBPJ dengan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain.

Ia mengandungi lima teras iaitu alam sekitar, ekonomi berdaya saing, budaya dan komuniti, habitat berdaya huni dan urus tadbir baik.

=EZY=


Pengarang :