Selangorkini
PBT SELANGOR

MBSA lancar Bas SEDA-10 Cari & Musnah Aedes

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan Bas SEDA-10 I.C (Search and Destroy Aedes-10 Minutes Information Center) sebagai salah satu inisiatif menjayakan kempen kesedaran deman denggi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia juga merupakan usaha MBSA untuk menjalankan aktiviti promosi kesihatan di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan tanggungjawab kepada penduduk terhadap kepentingan mengamalkan kebersihan dalam menangani masalah demam denggi.

“Promosi ini merupakan usaha berterusan untuk menjadikan kawasan pentadbiran MBSA bebas masalah demam denggi.

SEDA1“Secara tidak langsung, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada masyarakat untuk mempunyai sifat bertanggungjawab dan bersama-sama memerangi masalah kes demam denggi,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis Pelancaran Bas SEDA-10 I.C disempurnakan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi diiringi Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, baru-baru ini.

Beroperasi pada setiap hujung minggu, waktu pengoperasian Bas SEDA-10 I.C ini bermula dari jam 2.30 petang hingga jam 6.30 petang di sekitar Taman Tasik Shah Alam.

Bas SEDA-10 I.C mula beroperasi pada 5 Ogos lalu di lokasi berhadapan Antan Batura sementara pada 12 Ogos lalu beralih ke lokasi berdekatan Kedai Kopi 1.

Pada 19 Ogos ini, ia dijangka singgah berhadapan Taman Tema Wetworld dan minggu berikutnya, iaitu pada 26 Ogos, Bas SEDA-10 I.C akan berlegar di lokasi berhadapan Kompleks PKNS.

=EZY=


Pengarang :