Selangorkini
NASIONAL

Md Raus angkat sumpah Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR 5 OGOS: Tan Sri Md Raus Sharif malam tadi mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun, berkuat kuasa hari ini.

Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said; Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Pada 1 April lalu, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada usia 66 tahun dan 6 bulan pada 31 Mac lalu.

Umur persaraan bagi para hakim ialah 66 tahun.

Sebelum ini, Md Raus sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan perkhidmatannya selama enam bulan dari 4 Februari ke 3 Ogos.

Pada tempoh sama, beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 1 April.

Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata Md Raus menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :