Selangorkini
PBT SELANGOR

MPK giat perindah lorong belakang premis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited melaksanakan program kebersihan dan pengindahan lorong belakang premis perniagaan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan gagasan Smart Selangor.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, bagi menjayakan program itu, MPK menjadikan kawasan perniagaan Taman Eng Ann sebagai projek perintis untuk menjadi contoh kepada kawasan lain di daerah itu.

Katanya, menerusi program itu, MPK akan memastikan pembuangan dan kutipan sampah di kawasan perniagaan mengikut jadual ditetapkan serta lebih sistematik.

“Program ini merupakan salah satu program dianjurkan MPK dan komuniti perniagaan setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penjagaan kebersihan di premis perniagaan gerai makan dan pasar pagi dalam keadaan bersih, tersusun dan lebih menarik.

MPK“Dengan adanya program ini, semua lorong belakang di kawasan perniagaan ataupun gerai makan akan lebih bersih, cantik dan indah. Kawasan perniagaan Taman Eng Ann ini akan menjadi contoh kepada kawasan lain di daerah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Program Kebersihan Dan Pengindahan Lorong Belakang 2017 di Kawasan Perniagaan Taman Eng Ann, baru-baru ini.

Yasid berkata, MPK turut akan mengetatkan rondaan dan pemeriksaan bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memastikan pemilik premis perniagaan dapat mematuhi arahan dan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, sikap pemilik premis meletakkan barangan dagangan di kaki lima dan lorong belakang menjadi punca halangan kepada orang awam serta mecatatkan pemandangan dan kotor.

“Sikap ini menyebabkan masalah pembiakan binatang bawaan penyakit seperti tikus, nyamuk dan lipas, longkang tersumbat dan kesukaran pihak kontraktor pembersihan membuat pembersihan longkang dan wujudnya longgokan sampah haram,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, kawasan perniagaan itu dapat dijadikan tumpuan orang ramai dan sebagai tarikan pelancong selain mewujudkan Premis Bersih (Gred A) untuk keseluruhan premis perniagaan makanan.

“Kita mahu menggalakkan pembabitan sepenuhnya masyarakat bagi membentuk sebuah masyarkat yang sihat dan selamat melalui pembelajaran kesihatan yang berkesan serta berpengetahuan dari segi pendidikan kesedaran kesihatan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :