Selangorkini
PBT SELANGOR

MPK perkenal mesin deposit tunai I-Kiosk

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 3 OGOS: Bagi memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran cukai taksiran, Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperkenalkan mesin deposit tunai I-Kiosk pertama di pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, mesin yang berfungsi setiap hari selama 24 jam itu boleh menerima bayaran tunai, cek, kad kredit dan kad debit serta dijangka memudahkan juga mempercepatkan urusan pembayaran.

Katanya, mesin itu juga mampu memberikan baki tunai dan menerima transaksi kad kredit sehingga RM 1,500 bagi satu transaksi.

“Maklumat bayaran akan dikemas kini secara ‘real time’ dan berintegrasi dengan sistem sedia ada.

“Kesilapan melalui mesin juga akan dapat mengelakkan risiko kesilapan mengira dan penerimaan wang palsu serta menepati spesifikasi ciri keselamatan tunai yang ditetapkan Bank Negara Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_6237Norfiza berkata, transaksi kutipan serta baki wang yang tersimpan di dalam mesin dapat dipantau dari pejabat, pada bila-bila masa melalui sistem pengkalan data.

I-Kiosk itu dirasmikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, semalam di Ibu Pejabat MPK.

Ia turut dilengkapi modul berteknologi tinggi, antaranya pengesahan identiti melalui sitem biometric yang diintegrasikan dengan padanan cap jari pelanggan bagi tujuan pengesahan individu.

Selain itu, pelanggan turut dimudahkan dengan komunikasi melalui perbualan video di mesin itu secara langsung antara pegawai jika memerlukan khidmat bicara.

“MPK menggalakkan orang ramai menggunakan mesin ini selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu bagi mengelakkan kesesakan di kaunter semasa hari bekerja,” katanya.


Pengarang :