Selangorkini
SELANGOR

MPS laksana program Pagi Tanpa Kenderaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meneruskan gaya hidup sihat dengan menganjurkan program Pagi Tanpa Kenderaan yang diadakan di Pusat Komersial, Bandar Country Homes Rawang, semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, program berbentuk santai yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat selain mengurangkan pencemaran udara.

“Program ini menggalakkan penggunaan pengangkutan mesra alam yang tidak menggunakan kenderaan bermotor.

“Antara aktiviti diadakan pada hari itu ialah acara berbasikal sejauh 15.6 kilometer, berjalan kaki, berkasut roda, papan luncur, hover board dan skuter blade selain ceramah jom sihat serta cabutan bertuah,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin berkata, program bermula sekitar jam 6.30 pagi itu turut mengedarkan 1500 kemeja-T percuma kepada yang berdaftar rawal.

Selain itu, ‘goodies’ juga diberikan kepada peserta yang membawa barangan kitar semula seperti tin, akhbar lama atau botol plastik.

“MPS berjaya mengumpul kertas terpakai sebanyak 283 kilogram (kg), beg plastik (81 kg), tin (21 kg) dan lain-lain barangan (51 kg).

“Selain itu, pusat khidmat masyarakat DUN Rawang turut memberi sumbangan 10 unit kerusi roda kepada Independent Living and Training Centre Malaysia (ILTC) bagi membantu golongan kurang upaya,” katanya.


Pengarang :