Selangorkini
SUKANKINI

MSL: PKNS gagal jinakkan Perak, tewas 2-0

OLEH AFIX REDZUAN

IPOH, 5 OGOS: PKNS FC gagal menebus kekalahan di Shah Alam dalam aksi kumpulan TM Piala Malaysia minggu lalu apabila tewas sekali lagi 2-0 kepada Perak di Stadium Perak.

Dalam aksi Liga Super, Red Ants tidak mampu menghalang kebangkitan The Bos Gaurus meskipun berjaya mengikat pasukan tuan rumah tanpa jaringan pada babak pertama.

Aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan Perak terlebih dahulu menguji pertahanan PKNS FC pada minit kelila menerusi gerakan satu-dua Kafiz Kamal bersama Gilmar tetapi bola terus ditangkap Muhammad Zamir Selamat.

Selang dua minit kemudian, percubaan Mohd Nazrin Mohd Nawi hampir mengelirukan pasukan pelawat tetapi bola berjaya dikeluarkan pertahanan PKNS FC.

Masuk minit ke-16 PKNS cuba mengasak menerusi rembatan Bobby Gonzales yang berjaya ditangkap kemas Hafizul Hakim selepas menerima hantaran ke tengah daripada Patrick Ronaldinho Wleh.

Patrick hampir menggamatkan Stadium Perak apabila melepasi perangkap offside dan cuba melambungkan bola ke gawang Perak tetapi berjaya ditumbuk keluar Hafizul Hakim.

Pada penghujung babak pertama, Shahrul Azhar Ture hampir merobek gawang Perak untuk gol pertama permainan tetapi percubaan luar kotak penalti beliau sekadar singgah ke palang gol.

Masuk minit ke-51 babak kedua permainan, Hafiz Kamal sekali lagi membuat percubaan menerusi satu tandukan tetapi pengadil terlebih dahulu meniupkan wisel kerana berlaku kekasaran dalam kotak penalti PKNS FC.

Perak akhirnya memecah kebuntuan jaringan ketika perlawanan masuk minit ke-55 apabila percubaan Nazrin Nawi terkena pertahanan PKNS FC dan terus menewaskan penjaga gol, Zamir Selamat bagi keputusan 1-0.

Nazrin Nawi terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya melencongkan bola ke dalam kotak penalti menerusi satu sepakan percuma yang kemudiannya disambar Gilmar Da Silva bagi memastikan Perak selesa mendahului 2-0 pada minit ke-59.

Peluang terbaik PKNS FC hadir menerusi Shahrul Azhar Ture bagi merapatkan kedudukan pada minit ke-70 tetapi rembatannya tidak menepati sasaran.

Seminit kemudian, Pak Kwangil hampir membolosi gawang Perak tetapi tampanan beliau berjaya dikawal Hafizul Hakim.

Masuk minit ke-79, Patrick Ronaldinho terus menghampakan PKNS FC apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila menyepak tinggi selepas dijatuhkan Leandro Dos Santos.

Dengan keputusan ini, PKNS FC kekal mengumpul 21 mata sementara Perak cuba mengejar kedudukan tiga terbaik Liga Super dengan mengumpul 30 mata sebelum aksi liga domestik berehat bagi memberi laluan kepada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

=EZY=


Pengarang :