Selangorkini
SELANGOR

Mufti Selangor: Tumpu usaha banteras zina, bukan berpolemik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OGOS: Perbuatan zina wajar diberi perhatian berbanding isu nama anak tak sah taraf berbin atau berbintikan nama bapa biologinya, kata Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Katanya, isu hangat dibangkitkan kini hanya menyebabkan kekeliruan nasab umat Islam dan mengundang pelbagai masalah dalam pelaksanaan undang-undang kekeluargaan Islam berkaitan perwalian, hadhanah (penjagaan anak) serta pengagihan harta pusaka bagi orang Islam.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebagai badan penyelaras di peringkat pusat mengenai anak tak sah taraf juga perlu dihormati bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan umat.

“Perlu ditegaskan bahawa menurut Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 fatwa disiarkan dalam Warta hendaklah mengikat orang Islam di Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu.

“Seksyen sama juga memperuntukkan bahawa sesuatu fatwa yang telah diwartakan hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam negeri berkenaan tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Selangor juga menyokong tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.

“JPN masih terikat untuk mematuhi undang-undang Syariah yang terpakai ke atas orang Islam. Kita juga mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan dan Mais akan memohon kebenaran mencelah dalam rayuan terbabit.

“Ini adalah sebagai usaha memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini selaras dengan kehendak hukum syarak dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Negeri,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Selangor membuat fatwa berdasarkan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang diwartakan pada 28 April 2005 yang menghuraikan keadaan-keadaan boleh mengesahkan status anak itu sebagai anak tak sah taraf.

“Pertama, anak dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

“Kedua, anak dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkan al-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.

“Ketiga, anak dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘iimkan al-dukhul’ selepas akad sah, namun demikian terdapat pengakuan daripada suami atau isteri bahawa anak yang lahir itu adalah hasil daripada persetubuhan luar nikah,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa juga menegaskan bahawa sebarang pertikaian hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa utama dalam Hukum Syarak yang diiktiraf oleh undang-undang.


Pengarang :