Selangorkini
NASIONAL

Pejabat Isa di SPAD diserbu SPRM

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pejabat baru bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad berkata, ia adalah sebahagian daripada proses siasatan dilakukan ke atas tokoh itu yang kini terbabit dalam dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya diberitahu lawatan ke pejabat SPAD pagi ini. Ini proses normal untuk siasatan yang sedang berlaku,” katanya dipetik Malaysian Insight.

ISA SAMADDitanya sekiranya terdapat aset milik Isa yang dibekukan, Dzulkifli berkata, SPRM masih dalam siasatan dan sedang berusaha sedaya upaya untuk melengkapkan siasatan.

Semalam, rumah Isa di Nilai turut dikunjungi SPRM selepas rumahnya di Petaling Jaya diserbu sebelum itu.

Pada 15 Ogos lalu, Isa ditahan SPRM selepas hadir di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC), masing-masing di London dan Kuching.

Siasatan membabitkan isu pembelian hotel berkenaan dimulakan sejak dua bulan lalu dengan hampir 40 keterangan sudah diambil setakat ini.

Isa dikenakan perintah tahan reman selama lima hari bermula 15 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC.


Pengarang :