Selangorkini
SELANGOR

Pemaju janji atasi kesulitan pejalan kaki

OLEH LIZAWATI MADFA

BANGI, 7 OGOS: Pemaju Andaman PKNS sedia mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan penduduk mengenai pagar yang dibina di laluan pejalan kaki di Bandar Baru Bangi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Shafie Ngah berkata, penduduk dan orang ramai juga diharap dapat bersabar dan memberi masa kepada pemaju untuk menangani masalah diajukan dengan sebaiknya.

“Kami diberitahu pagar itu dibina bagi tujuan keselamatan orang awam seperti melindungi daripada aktiviti jenayah ragut.

2017-08-07-PHOTO-00000278“Bagaimanapun, ia dibina begitu panjang dan tanpa pintu masuk dan keluar menyebabkan kesulitan kepada orang awam untuk bergerak dengan cepat ke sesuatu destinasi.

“Jadi, penduduk minta pemaju dapat sediakan pintu di antara pagar berkenaan bagi memudahkan penduduk,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat sendiri keadaan di pusat bandar, Bandar Baru Bangi itu.

Turut serta, wakil pemaju dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi serta Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Shafie berkata, penduduk turut mengadu ketiadaan ‘zebra-crossing’ yang turut menyukarkan penduduk melintas jalan terutama ketika kesesakan trafik.

“Jadi, kita berharap pemaju turut mengambil perhatian aduan ini kerana pusat bandar ini menggunakan sistem jalan sehala.

“Apabila sistem jalan sehala, maka ‘zebra-crossing’ sememangnya diperlukan,” katanya.


Pengarang :