Selangorkini
SELANGOR

Penduduk bantah pengambilan air tangki Puchong Prima

OLEH AFIX REDZUAN

PUCHONG, 27 OGOS: Jawatankuasa Bertindak Penduduk Puchong Prima membantah pengambilan air daripada tangki Puchong Prima bagi kegunaan kawasan perumahan baru dianggarkan berkapasiti 15,000 penduduk.

Pengerusinya, Abdul Razak Ahmad berkatam dengan pertambahan penduduk kini, mereka tidak yakin kemampuan dua tangki sedia ada bagi menampung bekalan kerana setakat ini ia digunakan lebih 25,000 pengguna setempat sejak dibina 20 tahun lalu.

Menurutnya, persoalan timbul apabila perumahan baru yang jauh lebih besar tidak perlu membina tangki baru sedangkan pemaju yang membina Rumah Selangorku hampir 450 unit diarahkan untuk membina tangki air sendiri.

“Pengurusan Air Selangor memberikan jaminan air cukup untuk semua. Satu tangki khas untuk Puchong Prima dan tangki gantian (spare tank) untuk perumahan baru.

unknown (16)“Penduduk ragu-ragu dengan jaminan ini jika diambil kira kesan jangka masa panjang kerana penduduk sedia ada kini berhadapan masalah tekanan air rendah.

“Tangki gantian sepatutnya digunakan jika tangki utama menghadapi masalah. Jika kedua-duanya digunakan serentak ia akan menjejaskan pengguna kelak apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Lebih mengecewakan penduduk, pemaju itu turut menjalankan kerja mengorek dan menanam paip pada lewat malam hingga hampir subuh.

Difahamkan setakat ini kerja mengorek dan menanam paip bersaiz 350mm sudah dilakukan sejauh tiga kilometer.

Abdul Razak memaklumkan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah mengeluarkan kompaun dan surat pemberhentian kerja sementara kepada pemaju berkenaan pada 16 Ogos lalu serta mengesahkan permit korek belum dikeluarkan.

Selain itu, satu surat bantahan dan makluman juga sudah dihantar ke pejabat Dato’ Menteri Besar minggu lalu.

“Pengurusan Air Selangor perlu tampil memberikan penjelasan mengapa perumahan bersebelahan Puchong Prima diberi ‘keistimewaan khas’?

“Pemaju luar perlu membina tangki sendiri tanpa mengganggu tangki air Puchong Prima.
“Kita juga menuntut MPSJ bertindak tegas kepada pemaju atau kontraktor yang melanggar peraturan selain mahu paip yang ditanam dikorek semula dan jalan rosak dibaiki segera,” katanya.

Hampir 300 penduduk Puchong Prima sebelum itu mengadakan bantahan aman berhampiran tangki air Puchong Prima di Pangsapuri Orkid yang turut dihadiri Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Dewan Negeri Sri Serdang, Noor Hanim Ismail.

=EZY=


Pengarang :