Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS disaran jadi pemain kompetetif serantau

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disaran menjadi pemain kompetetif serantau ekoran memiliki aset bernilai RM5.93 bilion dan nilai aset kumpulan RM7.72 bilion.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk mewujudkan daya saing tinggi, menghasilkan produk inovatif serta memastikan semua anak syarikat beroperasi dalam kerangka pelan strategik.

“Sumber dan aset kewangan yang sangat besar ini menuntut pelaksanaan amalan tadbir urus korporat terbaik.

“Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan PKNS mesti mematuhi protokol kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat PKNS, di sini, hari ini.

IMG_20170801_121615Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PKNS berkata, perbadanan itu turut menandatangani Ikrar Integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disusuli 11 anak syarikatnya.

Katanya, setiap Ahli Perbadanan PKNS juga diwajibkan untuk menandatangani Borang Pengisytiharan Kepentingan sebelum bermulanya setiap Mesyuarat Ahli Perbadanan.

“Ia bagi memastikan tidak ada kepentingan di atas kertas yang dibentang dan dibincang dalam Mesyuarat Ahli Perbadanan PKNS.

“PKNS yakin usaha ini lebih efektif dan berkesan untuk melindungi kepentingan awam dan rakyat Selangor serta menghindar amalan rasuah.

“Kerajaan Negeri turut mengambil langkah sama pada setiap Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

=EZY=


Pengarang :