Selangorkini
SELANGOR

PKNS tawar insentif individu perkenal hartanah kepada pembeli

SHAH ALAM, 20 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan insentif tunai antara RM4,000 dan RM10,000 kepada orang ramai yang memperkenalkan hartanahnya kepada pembeli menerusi program Insentif MyPKNS.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Noraida Mohd Yusof berkata pengenalan insentif itu yang bermula hari ini sehingga 31 Dis 2018, diharap dapat merancakkan lagi jualan projek hartanah PKNS, lapor BERNAMA.

Katanya insentif itu terbahagi kepada tiga kategori, Insentif Emas yang menawarkan imbuhan sebanyak RM10,000 kepada pihak yang memperkenalkan hartanah berharga RM1 juta ke atas, Insentif Perak (RM6,000 bagi hartanah berharga antara RM400,000 dan RM1 juta) dan Insentif Gangsa (RM4,000 untuk hartanah bernilai di bawah RM400,000).

“Insentif itu boleh dituntut selepas pembeli memenuhi syarat, antaranya selesai menandatangani Perjanjian Jual Beli dan disetemkan serta menandatangani surat kelulusan pinjaman bank.

‘Introducer’ boleh membawa bukti tersebut ke pejabat PKNS untuk tuntutan insentif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Insentif MyPKNS bersempena Pameran Koleksi Hartanah PKNS, di Kompleks PKNS, di sini.

Pameran itu bermula semalam dan akan berakhir pada 27 Ogos ini.

=EZY=


Pengarang :