Selangorkini
NASIONAL

Polis buru warga asing ada kaitan pengganas

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengadakan operasi bersepadu memburu warga asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan keganasan sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi di sekitar Lembah Klang dan lokasi lain dibuat bagi memastikan acara sukan itu berjalan lancar.

“Kita akan kesan dan ambil tindakan terhadap warga asing yang disyaki ada kaitan dengan keganasan khususnya terlibat dengan aktiviti yang mempunyai kaitan dengan (negara bergolak) Syria,” katanya kepada pemberita, di sini, lapor BERNAMA.

Katanya, operasi itu mendapat kerjasama Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang meminjamkan peralatan bagi mengesan elemen nuklear.

Terdahulu, Ayob Khan mengetuai operasi bersepadu lebih enam jam bermula tengah hari tadi di sekitar Jalan Masjid India, kawasan tumpuan ramai di ibu negara.

Susulan operasi itu, 275 individu terdiri daripada warga Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Oman, Yaman, Uzbekistan, Thailand, Nigeria, Sri Lanka dan rakyat tempatan ditahan serta dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk pemeriksaan lanjut.

Ini termasuk proses penapisan berdasarkan pangkalan data Interpol berkenaan pengganas.

Ayob Khan berkata operasi itu juga membawa kepada terbongkarnya sindiket pemalsuan dokumen membabitkan seorang warga Pakistan di dua unit kondominium di Jalan Masjid India.

Katanya kira-kira RM40,000 wang tunai, 62 pasport pelbagai negara dan sebuah mesin memalsukan pelekat Jabatan Imigresen turut dirampas.


Pengarang :

Related posts

BERSIH 4.0: Pro Guam belum terima laporan tangkapan

Remaja mengaku tembak monyet untuk suka-suka

Aishah Amin

Anwar : Jawatan GLC Bukan Rizab Parti

admin