Selangorkini
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Rebat 30% yuran pendaftaran di Hari Terbuka UNISEL 2.0

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 OGOS: Orang ramai berpeluang mendapat rebat yuran pendaftaran sehingga 30 peratus di Hari Terbuka Universiti Selangor (UNISEL 2.0) bagi pengambilan, September ini.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, penganjuran kali kedua itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar berkenaan keberadaan UNISEL, di samping mengukuhkan jenama universiti berkenaan.

Katanya, UNISEL berhasrat melahirkan lebih ramai lagi graduan selaras dengan kehendak industri semasa selepas melahirkan puluhan ribu sebelum ini.

posters open 2.0 LATEST-page-001“Kita masih mengekalkan konsep sama seperti penganjuran lepas iaitu pengisian bukan sahaja dalam bentuk hiburan, namun padat dengan aktiviti ilmiah santai buat seisi keluarga.

“Kita juga bekerjasama dengan beberapa agensi di bawah Kerajaan Negeri bagi memastikan hanya yang terbaik untuk pengunjung,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Kali ini, UNISEL turut berkolaborasi dengan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor untuk membawakan Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) sekali dengan Hari Terbuka UNISEL 2.0.

Ia bakal berlangsung selama tiga hari di Kampus UNISEL Shah Alam bermula 25 hingga 27 Ogos ini.

Hasril berkata, UNISEL juga diberi kepercayaan untuk Kerajaan Negeri untuk menganjurkan Selangor Job Fair dan Karnival Usahawan dengan kerjasama Hijrah Selangor.

Katanya, pengunjung turut berpeluang berhibur menerusi Konsert The Stage Media Hiburan dengan penampilan artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Ramli Sarip, Wani Hasrita, Syamel AF dan Lan Kristal.

“Kita juga akan mengadakan Konsert Amal GeMS dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang menampilkan Aiman Tino, Amira Othman, Hakiem Rusli dan Akhil Hayy.

“Selain konsert, kita juga akan membawakan kepada anda slot hiburan ilmiah antaranya Santai@UNISEL Siri 5, Bicara Kemerdekaan, Wacana Sinar Harian, Sembang Santai dan Sketsa Komedi,” katanya.

Program lain termasuk Larian GeMS dan UNISEL, Senam Seni, Pameran Fakulti, Ceramah Akademik, Street Soccer, Kejohanan Bola Jaring dan Drumline Battle.


Pengarang :