Selangorkini
EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2810/2840 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 23 OGOS: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini berikutan dolar yang lebih stabil menjelang simposium tahunan bank pusat global di Jackson Hole, bermula esok.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan 4.2810/2840 berbanding dolar daripada 4.2790/2830, semalam, lapor BERNAMA.

Seorang peniaga berkata, dolar melonjak menjelang simposium tahunan AS disebabkan pelabur menjangkakan mesej yang diberikan daripada pemimpin bank pusat menerusi simposium itu akan memberi hala tuju pasaran baharu, terutama daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Janet Yellen.

“Bagaimanapun, sentimen pelabur terhadap ringgit masih kekal positif selepas rizab asing Bank Negara Malaysia mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun sebanyak AS$100.40 bilion pada 15 Ogos 2017.

“Rizab asing sentiasa menjadi petunjuk keyakinan di kalangan pelabur terhadap ekonomi negara, termasuk mata wang,” katanya.

Berbanding sekumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.9017/9056 daripada 3.9138/9193, penutup semalam, mengukuh berbanding pound kepada 5.4835/4891 daripada 5.4925/4985, semalam.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 5.0289/0341 daripada 5.0291/0355, sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1406/1440 daripada 3.1399/1439, semalam.

=EZY=


Pengarang :