Selangorkini
SELANGOR

Sambutan kemerdekaan ke-60 Selangor penuh warna-warni

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OGOS: Walaupun ramai dalam kalangan warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung ekoran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha, namun Majlis Sambutan Kemerdekaan ke-60 Peringkat Selangor 2017 tetap berlangsung meriah, malam tadi.

Hal itu dapat disaksikan apabila Dataran Kemerdekaan Shah Alam dibanjiri lebih 10,000 hadirin sejak jam 8 malam hingga acara kemuncak bagi menyaksikan perbarisan 56 kontinjen daripada pelbagai sektor.

Kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan membabitkan kira-kira 2,240 peserta itu terdiri daripada pelbagai jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, badan berkanun, swasta, syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, pasukan beruniform, Kelab Kereta Mini Klasik Selangor dan komuniti orang asal.

Sambutan kemerdekaan bertemakan Selangorku Sehati Sejiwa itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor oleh Kumpulan Koir Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebelum diikuti acara perbarisan diketuai Brassband 11 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain diselang-selikan dengan persembahan tarian kebudayaan, orang ramai turut dihiburkan dengan nyanyian Indah Ruhaila yang menyampaikan beberapa lagu bertemakan kecintaan terhadap negara atas salah sebuah kenderaan klasik.

baca ikrar aAntara yang paling mencuri tumpuan, Persembahan Senaman Perang oleh ATM yang menampilkan ketangkasan dan persiapan kecergasan fizikal serta mental sebelum turun ke medan perang.

Persembahan diteruskan dengan persembahan Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berjaya memukau hadirin dengan kecekapan dan keunikan formasi 40 anggotanya.

Selepas itu, Army Red Warrior yang terkenal dengan persembahan tatoo pula tampil dengan beberapa aksi lagak ngeri mendebarkan oleh anggota bermotosikal termasuk penunggang tunggal wanitanya yang merupakan anak jati Selangor.

Sebelum menutup tirai, Koir Kumpulan SUK sekali lagi menyampaikan lagu Tanggal 31 Ogos dan disertai laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :