Selangorkini
ALAM SEKITAR & CUACA GLOBAL

Sampah jana bahan api pesawat dan lori

GLOBAL 30 OGOS: Kerajaan United Kingdom (UK) menawarkan dana 22 juta pound (RM121 juta) bagi membiayai kajian bagi menghasilkan bahan bakar berkarbon rendah menggunakan sampah-sarap khusus untuk pesawat dan lori.

Daily Mail melaporkan mereka berharap dengan menggunakan sampah-sarap di tapak pelupusan, teknologi baharu dapat digunakan bagi menghasilkan bahan bakar untuk menerbangkan pesawat.

Langkah itu diambil berikutan pemberian geran menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan rancangan untuk mengharamkan semua kenderaan petrol dan diesel baharu menjelang 2040.

plane-fuel-waste-future-travel-846764Perangkaan Kementerian Pengangkutan menunjukkan pesawat dan lori menggunakan bakan bakar daripada sampah-sarap boleh menggunakan bahan api sehingga 90 peratus rendah karbon berbanding bahan api fosil tradisional.

Menurut Menteri Pengangkutan, Jesse Norman, pihaknya komited untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mempromosikan bahan bakar baharu yang mesra alam pada masa hadapan.

“Kami menyediakan pembiayaan kepada syarikat yang inovatif untuk membangunkan bahan api alternatif, cekap, mampan dan bersih. Kami mahu setiap kereta dan van baharu di UK menjadi pelepas karbon sifar pada 2040.

“Pada masa sama, kami juga sedia maklum sejak sekian lama lori dan kapal terbang bergantung kepada bahan api tradisional. Kini sudah tiba masa untuk menggalakkan bahan bakar alternatif yang mesra alam,” katanya.

Dari aspek kimia, bahan api baharu sangat mirip dengan bahan api konvensional, jadi boleh digunakan dalam pesawat sedia ada tanpa memerlukan pengubahsuaian enjin.

Pembiayaan kerajaan ini juga membantu membangunkan lima loji bahan api rendah karbon menjelang 2021.

=EZY=


Pengarang :