Selangorkini
SELANGOR

Selangor Bio Bay di landasan betul

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 14 OGOS: Perkembangan pembangunan berimpak tinggi, Selangor Bio Bay (SBB) yang giat dilaksanakan mencapai tahap membanggakan, setakat ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, projek terbesar dan moden di dunia itu, kini memasuki fasa pertama pembangunan infrastruktur dan landskap.

Katanya, fasa pertama membabitkan tanah seluas 300 ekar itu membabitkan 91 tapak perindustrian dengan masing-masing seluas 1 ekar, dijangka bermula Januari depan.

“SBB memfokuskan industri bioteknologi terbesar membabitkan 1,070 ekar tanah di Pulau Indah.

“Bagi fasa pertama, projek pembangunan komersial akan dibangunkan secara keseluruhannya bagi pemaju yang mahu mendirikan aktiviti perkilangan di kawasan SBB.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan projek ini dan percaya ia mampu mewujudkan ekosistem menerusi pembangunan bercampur,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke tapak projek SBB, di Pulau Indah, di sini.

IMG_0441Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Chang Khim berkata, selepas dua tahun pelan pembangunan keseluruhan dirancang, SBB akan mula membuka galeri pameran yang bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 24 September ini.

Terdahulu, Mahmud berkata, SBB akan dibangunkan merangkumi tiga presint dan lima fasa dalam tempoh 20 tahun secara berperingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.5 bilion.

Katanya, pembangunan bercampur membabitkan industri dan perumahan mewah itu menampilkan pelbagai kompenan antaranya pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta gaya hidup sihat.

Bagi fasa pertama, SBB akan dibangunkan dengan kawasan industri dan komersial, fasa kedua membabitkan kawasan perumahan kondominium juga pusat rekreasi serta fasa ketiga membabitkan kawasan pelancongan hotel dan chalet.

Selain itu, fasa keempat SBB akan dibangunkan dengan Biotech Accelerator Centre dan fasa kelima membabitkan pusat rekreasi Royal Selangor Yacht Club.


Pengarang :