Selangorkini
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Selangor catat pertumbuhan pendapatan lebih baik berbanding Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan pertumbuhan pendapatan tahunan lebih tinggi berbanding pertumbuhan pendapatan yang dicatatkan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata, negeri termaju itu ketika ini berjaya mengekalkan pertumbuhan pendapatan lebih 10 peratus pada 2016 dan 2017 berbanding Kerajaan Persekutuan yang menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan.

“Perdana Menteri baru masuk pada 2010 dan pada 2011 dia mencatatkan pertumbuhan penjanaan pendapatan pada kadar 14 peratus tetapi selepas daripada itu, dia tidak meningkat naik lagi.

“Maknanya, saiz pendapatan bertambah tetapi kadar pertumbuhan semakin berkurangan. Berbeza dengan Kerajaan Selangor dengan Menteri Besar yang sama, sejak 2014 diikuti 2016 dan 2017 terus meningkat,” katanya.

BANGUNAN SUKBeliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Prestasi Ekonomi Selangor pada program Wacana Ekonomi di Institut Darul Ehsan (IDE), di sini, hari ini.

Jelasnya, selepas peningkatan 14 peratus pada 2011, pertumbuhan pendapatan Kerajaan Persekutuan menurun kepada sekitar 11 peratus pada 2012, sekitar 2.5 peratus pada 2013, 3 peratus pada 2014, -1 peratus pada 2015, -0.9 peratus pada 2016 dan bagi 2017 pula diunjurkan sekitar 1 peratus.

Manakala pertumbuhan pendapatan Kerajaan Negeri pula menyaksikan sekitar 9 peratus pada 2011, 11 peratus pada 2012, 2 peratus pada 2013, 12 peratus pada 2014, 6 peratus pada 2015, 13 peratus pada 2016 dan diunjurkan sebanyak 13.5 peratus bagi 2017.

Katanya, Selangor juga boleh dianggap sebagai penanda aras ekonomi masa hadapan negara ekoran setiap perkembangan ekonomi di negeri itu bakal memberi kesan terhadap ekonomi negara keseluruhan.

“Kalau kita lihat apabila kadar pertumbuhan tahunan Selangor jatuh pada 2009 kerana kesan krisis ekonomi global pada masa itu, bahangnya hanya di Malaysia menerusi Selangor dahulu kerana Selangor mempunyai pelabuhan 13 terbesar di dunia.

“Apabila ekonomi global jatuh, perdagangan global juga jatuh, jadi kapal singgah di pelabuhan pun jatuh. Kita di Selangor merasa bahang pertama disebabkan kita adalah pintu masuk ekonomi Malaysia. Apabila Selangor pulih pada 2010 barulah kesannya dirasakan di Malaysia keseluruhannya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :