Selangorkini
SUKANKINI

Semangat Azlan membara selepas podium Suzuka 8-Hour

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman menjadikan kejayaannya di Kejuaraan Endurance Dunia Suzuka 8-Hour sebagai tonik terbaik menghadapi saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, pada hujung minggu ini.

Dalam kejohanan itu, Azlan menjadi pelumba Malaysia pertama menaiki podium bersama gandingannya, Leon Haslam Kazuma Watanabe yang muncul naib juara di belakang pasukan Yamaha Factory Racing.

“Banyak saya pelajari dalam perlumbaan itu memandangkan ini kali pertama saya bergandingan bersama pelumba jauh lebih berpengalaman.

“Apa yang dipelajari sewaktu perlumbaan boleh digunakan untuk memantapkan lagi teknik tunggang saya,” kata pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

Selepas tiga pusingan, Azlan kini mendahului kedudukan keseluruhan SuperSports 600cc dengan mengumpul 102 mata, 20 mata mengatasi Yuki Ito pada kedudukan kedua (82 mata), manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi (ketiga) (80 mata).

Berhubung aksi di Litar Sentul, Azlan berkata, beliau tidak beraksi tahun lalu ekoran kecederaan dan tidak begitu pasti berkenaan keadaan litar.

“Kami ada menjalani latihan di litar ini sebelum perlumbaan musim 2017 bermula.

“Perkongsian maklumat dan data bersama rakan sepasukan dari Indonesia, Ahmad Yudhistira mungkin dapat memberi kelebihan untuk saya menaiki podium dan mengekalkan kedudukan pendahulu,” katanya.


Pengarang :