SELANGOR

SPRM Selangor puji MDKL

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memuji Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) atas usahanya menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama suruhanjaya itu, baru-baru ini.

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, tindakan itu menunjukkan komitmen tinggi warga kerja MDKL dalam menjalankan amanah dan tangggungjawab secara telus, bersih serta bebas daripada anasir tidak sihat yang menjurus kepada rasuah.

Katanya, ia termasuk salah guna kuasa apabila melaksanakan tugas demi memelihara diri sendiri, tempat bekerja atau organisasi tempat bekerja.

“Saya juga tabik dengan Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid yang berikrar tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran atau unsur rasuah mencemar reputasi MDKL.

“Penyertaan MDKL ini membuktikan keberanian warganya yang bertekad untuk bersama memastikan ia bebas daripada sebarang ancaman dan belenggu jenayah rasuah juga salah guna kuasa,” katanya lapor Unit Korporat dan Perhubungan Awam MDKL.

IMG_2219Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) MDKL bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Pada masa sama, Wan Ramli berkata, SPRM menetapkan sasaran tiga tahun bagi memastikan sektor kritikal negara bersih daripada amalan rasuah dan penyelewengan.

Katanya, ia termasuk sektor perkhidmatan awam seperti agensi penguatkuasaan, badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan serta negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta, institusi kewangan dan perbankan.

“Bagi memastikan sasaran ini tercapai, maka fokus dan penekanan turut diberikan terhadap tindakan merampas semula kesemua harta dan hasil rasuah,” katanya.


Pengarang :