Selangorkini
SELANGOR

Sultan Selangor titah PKNS terus bantu keluarga berpendapatan rendah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memainkan peranan membantu keluarga Melayu berpendapatan rendah.

Baginda bertitah, peranan itu hendaklah dilaksanakan secara berterusan supaya mereka tidak terlalu ketinggalan berbanding bangsa lain di Selangor.

Titah baginda, usaha itu amat penting bagi memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum dapat dikekalkan.

“Beta percaya dengan pimpinan pengurusan baru PKNS, perbadanan ini akan dapat kembali bergerak menuju kepada objektif asalnya membangun kemajuan rakyat.

“Dengan usaha PKNS menyediakan rumah mampu milik, ia pastinya membantu mengurangkan beban rakyat dan merealisasikan impian mereka memiliki rumah berkualiti pada harga berpatutan,” titah baginda.

PKNS (8)Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat PKNS, di sini, hari ini.

Sultan Selangor turut bertitah supaya warga kerja PKNS melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, jujur dan dedikasi serta bebas rasuah.

“Beta tidak berkenan PKNS beroperasi di luar bidang kuasa serta menyimpang daripada objektif asal penubuhannya.

“Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PKNS (Board Of Directors) haruslah seimbang dan mesti dilantik dalam kalangan profesional serta boleh memberi pandangan juga tunjuk ajar dalam pembangunan.

“Beta tidak berkenan Ahli Lembaga Pengarah hanya diisi dengan ahli politik sahaja,” titah baginda.


Pengarang :