Selangorkini
SELANGOR

Sumbangan Kerajaan Negeri penghargaan buat VKU ATM

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 5 OGOS: Sumbangan kepada Abdul Rahman Lazim, 71, dianggap sebagai istimewa dan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikaan rakyat di Selangor termasuk Veteran Kelainan Upaya (VKU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anak lelakinya, Shahrul, 47, berkata keluarganya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan itu dan menghargai pengorbanan bapanya ketika menabur bakti dalam ATM.

“Saya dan keluarga berbesar hati atas kunjungan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ke rumah kami untuk menyerahkan sumbangan ini.

“Kami gembira kerana khidmat bakti dicurahkan bapa ketika berkhidmat dalam ATM turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_20170805_170744Dalam program turun padang di daerah Hulu Langat, hari ini, Mohamed Azmin mengambil kesempatan mengunjungi Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Tengah, di sini, yang mengidap strok dan menyerahkan sumbangan RM5,000.

Shahrul berkata, bapanya yang berkhidmat selama lebih 13 tahun dalam ATM mula mengidap strok lebih setahun lalu.

Katanya, beliau dan keluarga kini menjaga bapa termasuk membantunya bagi mendapatkan rawatan diperlukan.

“Sumbangan Kerajaan Negeri ini amat kami hargai dan begitu juga daripaada pihak lain yang pernah menyumbang kepada bapa,” katanya.

Melalui Belanjawan Selangor 2017, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM.

Daripaada jumlah itu, RM500,000 disampaikan secara terus menerusi program turun padang diadakan secara bergilir di setiap daerah manakala bakinya diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

=EZY=


Pengarang :