Selangorkini
SASTERA

Surat Kecil Untuk Tuhan: Melawan falasi kehidupan

Oleh Aina Wafi Ab Kadir

DIALOGNYA tidak banyak. Tetapi ekspresi muka dan getaran suara para pelakon, misalnya Angel yang menangis dengan setitis air mata cuma, menjadikan kita berasa sesak dan sebak. Begitulah tersentuhnya nurani saat  menikmati filem Surat Kecil Untuk Tuhan.

Pengarahnya bijak mengalihkan satu babak kepada babak lain walau plotnya masih terasa agak laju. Namun, sinematografinya cantik dan memikat hati. Kesedihan dan emosi banyak ditimbulkan melalui simbol dan pemilihan warna – kita namakannya sebagai kemahiran semiotik.

Kisahnya tidak rumit untuk difahami tetapi mesejnya besar, berat, marhaen dan lebih sakit – itulah realiti masyarakat Indonesia, dan sebenarnya, Malaysia juga.

Filem itu membentang kisah watak Anton dan Angel, anak yatim bernasib malang apabila terlibat dalam sindiket mengemis di jalanan. Kalau tidak cukup wang kutipan dalam jumlah yang ditetapkan penjaga mereka – Om Rudi, mereka akan dihukum dengan pelbagai bentuk seksaan. Inilah kisah, juga realiti yang biasa terjadi di kedua-dua negara ini. Kalau di Indonesia, anak-anak dipaksa mengemis dari kereta ke kereta; di Malaysia juga anak-anak disuruh mengemis meminta-minta wang atau dalam bentuk lain – berselindung atas nama sumbangan atau dana. Mereka sama ada berseorangan atau secara kumpulan kecil bergerak dari meja ke meja di setiap restoran dan tempat tumpuan awam.

Media tempatan juga banyak membuat pendedahan tentang aktiviti sindiket mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja hingga mampu menghasilkan lebih kurang RM300 kutipan seorang untuk satu hari. Jika anak-anak yang diperas sekitar 20 orang, nah bayangkan kekayaan sindiket tersebut? Sedangkan, perbuatan itu menyalahi undang-undang khususnya Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Ia terang-terang salah di sisi moral, salah juga di sisi perundangan.

Filem ini, khabarnya digarap dari novel dengan judul sama dan pertama kali menemui khalayak pada 2011 hingga menjadi box office. Namun, kali ini, penerbitnya Falcon Pictures menghadirkan kembali filem tersebut dengan judul sama tetapi jalan cerita berbeza. Namun, tema yang diangkat masih sama – perihal kemanusiaan.

Justeru, kesempatan menonton filem yang sutradaranya Fajar Bustomi di sebuah pawagam pusat beli-belah di Wangsa Walk, baru-baru ini sangat mengujakan. Ia ternyata membawa nilai keinsafan yang bukan sedikit, bahkan tajam menusuk sanubari. Ia juga langsung membuka pintu akal dalam melawan belit-belit falasi dalam jalur kehidupan yang sarat simpang siur.

Kita juga diheret dengan panah-panah pertanyaan. Apakah yang sewajarnya kita lakukan dalam mendepani isu begini? Serahkan sahaja solusi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)? Berdoa pusat agihan zakat memberi lebih fokus kepada rumah anak yatim tanpa kita berbuat apa-apa? Atau kita bersama-sama menyinsing kaki turun menjenguk, mengambil bahagian membantu anak-anak ini secara langsung sementelah mereka kehilangan kasih seorang ibu, sayang seorang bapa?

Babak  seterusnya pula menyaksikan bagaimana Angel yang  dewasa bertindak sebagai pelindung kepada mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan. Angel, salah seorang mangsa sindiket dan penderaan kini mengurus kes yang sama seperti pengalaman kecilnya. Peranan yang dimainkan Angle dan kawan-kawannya dalam menyusun gerak menjatuhkan sindiket tersebut membawa kita pulang menelusuri nilai-nilai yang harus ada dalam diri seseorang manusia.

Pada kita ialah rasa simpati terhadap kecelakaan yang menimpa orang sekeliling, sikap bertanggungjawab dan paling besar – kita harus mengikut langkah pesuruh Tuhan yang sentiasa membela dan membebaskan golongan tertindas. Itulah tujuan sosial atas perutusan para anbiya. Seorang revolusioner harus membawa perubahan radikal dalam suasana sosial yang tengik dan mengubahnya mengikut acuan yang sesuai dengan wahyu.

Ketika Angel dan para saksi berdepan dengan kes ini, mereka tidak sesekali berkompromi dengan kezaliman yang dilakukan Om Rudi. Segala bentuk penindasan harus dilawan sampai ke penghujung, tidak boleh sekerat-kerat. Mereka menjadikan kehidupan anak-anak lain yang tidak pernah pun mereka kenali sebagai tujuan utama dalam menyelesaikan kes ini. Walaupun pada awalnya ia kelihatan bersifat peribadi tetapi hal yang tak tersangkal ialah kecelakaan yang menimpa diri seseorang, boleh menimpa individu lain selagi ia  tidak dikekang atau dicantas, terbiar bermaharajalela.

Sebab itu, perbuatan Angel mensabitkan Om Rudi atas kesalahannya, jauh ke depan ialah suatu bentuk perlindungan, pembebasan dan penghargaan buat anak-anak kecil lain yang seharusnya hidup selamat dan bahagia sepanjang proses pembesarannya. Kita tidak harus mementingkan diri dan takut dalam memperjuang hak anak-anak dan orang tertindas kerana ia selari dengan prinsip luhur kebenaran Tuhan, kesetaraan dan ikatan persaudaraan sesama manusia seperti yang disebutkan Prof Dr Ziaul Haque dalam Wahyu dan Revolusi: Misi Sosial Para Nabi-Revolusioner.

Dan pada akhir filem, Om Rudi dalam mempertahan kesalahannya konon perbuatan beliau adalah suatu jalan keluar kepada anak-anak dalam memperoleh syurga, adalah falasi dalam menjustifikasi dosa besar yang dilakukannya. Kata Om:        “Kamu orang kaya! Kamu tidak tahu apa erti, apa rasanya menjadi miskin! Berapa banyak anak jalanan yang hidup layak dan mereka masuk syurga, kerana saya?”

Tidak ada kebaikan dan penghargaan untuk kehidupan indah anak-anak yang ditarik seorang lelaki dewasa berhati syaitan dengan mengambil kesempatan sedemikian. Kesusahan yang menimpa diri, adalah tanggungjawab kita untuk menyelesaikannya, bukan sewenang-wenang meletakkan kesalahan itu ke bahu manusia lain.

Filem ini diakhiri dengan adegan yang membayangkan surat kecil yang dihantar Angel kepada Tuhan akhirnya termakbul setelah 15 tahun. Ia turut membunuh kesengsaraan anak-anak lain yang layak mendapatkan kehidupan kanak-kanak mereka.


Pengarang :