Selangorkini
SELANGOR

Suspek kes bunuh 2 pengawal di Klang ditahan

SHAH ALAM 5 OGOS: Suspek utama kes bunuh dua pengawal keselamatan di Jalan Bukit Kuda, Kampung Kuantan, Selasa lalu, ditahan awal pagi tadi.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak, kira-kira jam 1 pagi tadi, lapor BH ONLINE.

“Suspek masih berada di hospital berkenaan berikutan masalah kesihatan.

“Ketika polis tiba di kampungnya, ibu suspek memaklumkan anaknya pulang ke rumah Khamis lalu tetapi bersikap ganjil dan mengamuk sebelum keluarga menghantarnya ke hospital.

“Berikutan itu, polis mendapatkan suspek dan memantaunya kerana masih menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazelan berkata, pihaknya turut menemui beberapa bahan termasuk kereta Satria Neo milik mangsa.

Bagaimanapun, wang gaji berjumlah RM3,000 milik mangsa tidak dijumpai.

Khamis lalu, dua pengawal keselamatan, Syed Mohd Fazrul Syed Mohd Ridhuan, 23, dan bapa saudaranya Wan Amir Abu Hassan, 48, ditemui mati dengan kesan tetakan di seluruh badan.

=EZY=


Pengarang :