Selangorkini
GLOBAL

Tentera AS dan Korea Selatan guna simulasi komputer latihan perang

GLOBAL 22 OGOS: Tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan peperangan mengunakan simulasi komputer bagi persiapan sekiranya perang meletus dengan Korea Utara.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan latihan perang bersama itu akan berterusan hingga 31 Ogos ini.

Latihan perang itu juga diadakan selepas Pyongyang dilaporkan menjana pendapatan sekurang-kurangnya AS$270 juta (RM1.07 bilion) sejak Februari lalu walaupun dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, latihan bersama itu yang dinamakan Kawalan Kebebasan Ulchi adalah untuk pertahanan dan bukan bertujuan meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea.

Korea Utara“Tiada niat untuk meningkatkan ketegangan tentera di Semenanjung Korea kerana latihan ini diadakan pada setiap tahun dan bertujuan untuk pertahanan semata-mata.

“Korea Utara juga tidak sepatutnya menjadikan latihan tentera ini sebagai provokasi untuk memburukkan lagi keadaan,” kata Jae-in.

Seorang jurucakap tentera AS, Michelle Thomas berkata, latihan tentera itu sebagai persiapan sekiranya sesuatu yang besar berlaku dan perlu melindungi Korea Selatan.

Pyongyang menganggap latihan tentera tahunan sebagai persiapan untuk menyerang Korea Utara. Negara komunis itu melancarkan peluru berpandu dan melakukan tindakan lain setiap kali latihan perang itu diadakan pada masa lalu.

=EZY=


Pengarang :