Selangorkini
SELANGOR

Terima kasih Perwira negara-MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Jasa pejuang tanah air dan perwira negara yang mempertahankan kedaulatan bangsa tidak seharusnya dilupakan masyarakat Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengorbanan wira negara itu menjadi titik tolak kepada pembebasan negara daripada cengkaman penjajah.

“Anggota keselamatan tentera dan polis bertarung nyawa jiwa serta raga untuk mencapai kemerdekaan. Tanpa mereka, tentunya kita tidak dapat mengecapi nikmat kemakmuran juga kesejahteraan ini.

“Tanpa pengorbanan mereka juga, tidak mungkin kita berada di sini untuk merayakan sambutan 60 tahun kemerdekaan dengan aman dan penuh ceria.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan masyarakat Selangor mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti sertakerja keras mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat Selangor, di Dataran Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

kereta antik aSambutan kemerdekaan peringkat negeri berlangsung meriah dengan kehadiran 10,000 warga Selangor yang mula membanjiri perkarangan Dataran Kemerdekaan sejak jam 8 malam.

Kemuncak atur cara menyaksikan Mohamed Azmin mengetuai laungan kemerdekaan sebanyak tujuh kali dengan disambut hadirin dan pertunjukan bunga api.

Sebelumnya, 53 kotinjen terdiri daripada Jabatan Kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Agensi Swasta, NGO, Pasukan Beruniform, Persatuan Kenderaan Antik mengambil bahagian dalam upacara perarakan dan perbarisan kotinjen.

Selebriti tempatan; Indah Ruhaila, pemuzik Balle-Balle serta pertunjukan Senaman Perang, Kawad Senyap TLDM dan Army Red Warrior turut dipersembahkan kepada pengunjung.


Pengarang :