Selangorkini
PBT SELANGOR

Tiada kelewatan siap projek Stadium Pandan Perdana

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 20 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan kononnya berlaku kelewatan projek pembinaan Stadium Pandan Perdana yang sepatutnya siap, awal Ogos lalu.

Sebaliknya, Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Abdul Hussain berkata, pembaharuan kontrak dibuat bagi penambahan kerja pemasangan lampu limpah melibatkan lantikan kontraktor sedia ada.

“Ia kini di peringkat fasa terakhir bagi kerja pemasangan lampu limpah kerana dalam kontrak asal dulu, kerja pemasangan tidak termasuk dalam kontrak pemasangan lampu limpah.

“Justeru itu, MPAJ sudah melantik kontraktor sedia ada untuk kerja pemasangan lampu itu dengan prosesnya akan siap akhir November ini.

“Tidak timbul isu kelewatan. Memandangkan kita ada kewangan lebih untuk pemasangan lampu berkenaan, jadi kita lanjutkan tempoh kontrak untuk proses pemasangan lampu limpah,” katanya kepada pemberita pada sidang media Karnival MPAJ, pagi ini.

Abdul Hamid berkata, pembangunan stadium berkenaan menelan belanja sebanyak RM18 juta termasuk nilai RM3.5 juta bagi kerja pemasangan lampu limpah.

Difahamkan, proses pemasangan kini sudah berada pada tahap 92 peratus melibatkan empat fasa pemasangan di ruang utama stadium.

Terdahulu, pembangunan stadium itu dijangka akan melengkapkan lagi fasiliti sukan penduduk sekitar perbandaran MPAJ.

Pembinaan stadium di tapak seluas 2.37 hektar itu terletak kira-kira 400 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Stadium dengan kapasiti 1,100 tempat duduk itu turut dilengkapi kemudahan trek larian 400 meter, padang bola sepak dan kawasan tempat letak kenderaan.

Sebelum ini, sebahagian daripada tapak asal stadium mini itu mempunyai dua struktur bangunan lapang sasar latihan golf Pandan Perdana dan medan selera.

Tapak itu juga diwartakan Kerajaan Negeri sebagai kawasan lapang dan sesuai untuk pembinaan stadium serta digunakan sebagai padang bola sepak.

=EZY=


Pengarang :