PBT SELANGOR

Tiada kompromi tapak buang sampah haram

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan tegas mengeluarkan notis pembersihan kepada pemaju yang menjadikan tanah seluas 3.2 hektar di Taman Saga, di sini sebagai tapak pembuangan sampah haram.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, semakan mendapati tanah terbabit milik pemaju dan MPAJ serta pejabat tanah mengeluarkan notis supaya pemaju membuat pembersihan segera.

Katanya, ia bagi memastikan tapak itu tidak lagi dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu ini kerana kegiatan ini akan menjadi punca pencemaran alam sekitar, sekali gus pelbagai jenis penyakit kelak.

“Notis itu dihantar baru-baru ini dan kita berharap pemaju bertanggungjawab membersihkan kawasan itu secepat mungkin,” katanya kepada SelangorKini.

MPAJBaru-baru ini, penduduk di kawasan itu mendesak pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu bau busuk dan lalat di kawasan sekitar.

Ekoran masalah itu, penduduk mendapati tanah terbabit diteroka sejak beberapa bulan lalu untuk dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

MPAJ mengenal pasti kawasan itu menggunakan dron, sekaligus menjumpai longgokan sampah haram pada jarak kira-kira 50 meter dari kawasan perumahan dan berada di atas bukit.

Penduduk mendakwa pihak tidak bertanggungjawab itu memilih lokasi berkenaan selepas tapak pembuangan sampah berhampiran ditutup.


Pengarang :